Ramai yang tidak tahu, Malaysia walaupun bukan negara besar dalam kemegahan sukan, turut mempunyai detik gemilang yang mencatat sejarah dan mengejutkan dunia. Jom tengok!

Harimau Malaya di pentas Olimpik Munich 1972
Sukan Olimpik di Munich 1972 adalah pentas pertama dan julung kali buat Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.
Pasukan yang sama ini juga menghancurkan harapan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Pasukan lagenda ini dibarisi pemain lagenda negara seperti Lim Fung Kee, Soh Chin Aun, Wan Zawawi, Wong Choon Wah, Dell Akbar, M.Chandran, Bahwandi Hiralal, Wong Fook Chuan, dan Kapten Abdullah Zulkifli Nordin.
Meskipun tidak berjaya melayakkan diri dari perlawanan kumpulan, skuad Harimau Malaya yang sama berjaya membenam Amerika Syarikat dengan keputusan 3-0.
Harimau Malaya pernah juga melayakkan diri ke sukan Olimpik Moscow 1980, tetapi membuat keputusan untuk memboikot sukan Olimpik itu setelah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Pasukan Olimpik 1980 itu dibarisi pemain lagenda negara seperti R.Arumugam, Santokh Singh, Khalid Ali, Hassan Sani, James Wong dan sudah pasti Super Mokh, Mokhtar Dahari.

Tan Sri Dr M. Jegathesan di Sukan Asia Bangkok 1966
Tan Sri Dr M. Jegathesan membuktikan, Malaysia juga mampu mencatat nama dalam acara olahraga.
Beliau dinobatkan lelaki terpantas di Asia setelah menampilkan persembahan menakjubkan di Sukan Asia Bangkok 1966, dan berjaya mengungguli pingat Emas dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4 x 100 meter.
Malah, beliau diberi nama jolokan ‘The Flying Doctor’ setelah mencatat nama di Sukan Olimpik Mexico 1968 dan rekodnya masih kekal dalam sejarah olahragawan Malaysia.

Alex Yoong bersama A1 Team Malaysia
Alex Yoong merupakan pelumba Formula 1 pertama yang berasal dari Malaysia setelah menyertai pasukan Minardi Formula 1 pada tahun 2001.
Beliau kekal sebagai pelumba Formula 1 pasukan itu sehingga tahun 2002 dan kemudiannya beralih ke sukan lumba Formula A1 bersama A1 Team Malaysia.

Malaysia tewaskan Indonesia Piala Thomas Kuala Lumpur 1992
Perlawanan Badminton Piala Thomas 1992 merupakan yang paling bersejarah dan menakjubkan buat Malaysia setelah berjaya menewaskan kuasa besar dalam Badminton, Indonesia di pusingan Akhir.
Setelah 25 tahun kemarau dengan Piala Thomas, dan sepanjang 25 tahun itu juga Piala Thomas hanya di dominasi 2 pasukan negara lain iaitu China dan Indonesia, akhirnya Malaysia berjaya meraikan kemenangan ke-5 dan yang terakhir pernah dimenangi.
Regu Malaysia, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang terpaksa berjuang lebih sejam untuk menewaskan regu Indonesia, membawa kepada keputusan 3-2 dan Malaysia juara bagi Piala Thomas 1992 yang diadakan di Kuala Lumpur ketika itu.

Dato' Lee Chong Wei menang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008
Dato’ Lee Chong Wei mencatat rekod sebagai pemenang pingat Perak pertama dalam sejarah Malaysia di Sukan Olimpik Beijing 2008.
Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam Sukan Olimpik sebelum ini setelah kali terakhir pernah meraih pingat Perak dan Gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Datuk Nicol Ann David Juara Dunia paling muda Skuasy
Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai Juara Dunia Skuasy 2005 setelah menewaskan nombor 1 dunia ketika itu, Rachael Grinham.
Malah, beliau juga merupakan juara dunia paling muda dalam sejarah skuasy, apabila memenanginya ketika beliau baru berusia 21 tahun!
Beberapa bulan selepas itu, beliau melakar nama di mata dunia dengan menduduki tempat pertama dunia yang kekal sehingga kini.
Beliau sehingga kini telah menjuarai 6 kejuaraan Dunia Skuasy setelah memenanginya bagi tahun 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, dan 2011.

Sukan Komanwel Kuala Lumpur, Malaysia 1998
Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 merupakan detik paling gemilang dalam sejarah sukan Malaysia.
Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Komanwel ke-16, ini sememangnya acara sukan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia.
Sukan Komanwel itu juga dinobatkan sebagai Sukan Komanwel terbesar pernah diadakan sepanjang abad ke-20 dan Malaysia merupakan negara Asia pertama yang menjadi tuan rumah! Ia kemudiannya diadakan di India pada tahun 2010 sebagai negara kedua Asia.
Malaysia Boleh!
Mungkin Malaysia masih lagi belum boleh dikatakan sebagai kuasa besar sukan dunia. Namun, Malaysia boleh berbangga dengan beberapa jaguh sukan kelahiran Malaysia yang mencatat nama di mata dunia.
Sehingga kini, Malaysia boleh dikatakan berjaya meletakkan nama sebagai kuasa sukan di rantau Asia Tenggara.
Semoga atlet-atlet Malaysia berjaya menaikkan nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi!
p/s : Harimau Malaya ke Bola Sepak Piala Dunia!
Recent Comments